Thursday, June 7, 2012

Puding Permata Delima @ Red Ruby


Assalamualaikum dan salam sejahtera....

Cuaca yang agak panas sejak akhir-akhir ni boleh membuatkan kesihatan turut terjejas. Dari sudut lain memang la suka sebab urusan mendobi berjalan dengan lancar. Boleh 2-3 round. KPY pun sedang bercuti jadi senanglah sikit sebab tak ke mana . Duduk di rumah je. Nak keluar rumah pun fikir banyak kali.

Hari ni tiba-tiba teringin nak makan sesuatu yang segar. Tapinya red ruby kita tak lengkap. Puas pusing dengan kereta cari orang jual nangka. Biasanya banyak , tapi mungkin disebabkan musim cuti sekolah ni, penjual nangka kat tepi2 jalan pun bercuti jugak... Kalau ada nangka tu lagi meletopsss .
Yang pentingnya menjelang malam ni dah 2 kali pekena red ruby ni...sejuk terasa kat tekak...

Permata Delima
Bahan-bahan:
1. 1 biji ubi sengkuang sederhana besar - potong dadu ( kecil2)
2. 5 sudu besar tepung ubi kayu
3. 500 ml santan pekat
4. 10 sudu besar gula pasir
5. 4 ulas nangka - disiat halus ( kalau ada )
6. 1/2 tsp garam
7. ais
8. pewarna merah - secukupnya

Cara :
1. Rendamkan sengkuang yang dipotong dadu dengan pewarna merah lebih kurang 30 minit.
2. Toskan dan gaul dengan tepung ubi kayu.
3. Panaskan air sehingga menggelegak dan masukkan sengkuang tadi. Kacau perlahan dan biarkan seketika sehingga bahan tadi menggelegak kembali.
4. Angkat dan toskan.
5. Panaskan santan bersama garam - ketepikan
6. Masak gula pasir dengan air sehingga pekat. Masukkan nangka. Tutup api.
7. Cara hidang - Letakkan sengkuang dah sudah cantik , sedikit santan , air gula dengan nangka dan ais secukup rasa. Nyummmmmmm Nyummmmm.

* kalau suka boleh letak sagu biji yang berwarna warni , cendol dan bahan-bahan lain.
First time makan benda ni masa mengajar di Selayang Baru dulu. Ada orang Thai yang jual . memang sedap...

Tuesday, June 5, 2012

Retak Seribu

Tolong....tolong ...tolong.
Ada tak sesiapa atau kawan-kawan kat luar sana yang pernah alami perkara sebegini. Sama ada boleh diganti cermin luar atau dah tak boleh guna langsung. Kalau boleh ganti cermin tu agak-agaknya kat mana ya?

Yatie pun dah pakai oven ni dalam lebih 7 tahun. Memang berbaloilah. Hampir setiap hari guna. Tetiba pulak hari kejadian tu boleh jadi cenggini. Nak kata terlalu panas tu, tak mungkin sebab tengah bakar kek tak sampai sejam. Biasa tu 4-5 jam guna ok je...

Cermin luar oven - retak seribu. ( Oven Jenama Electrolux )

Sunday, June 3, 2012

Panggilan Pulau

Assalamualaikum semua. Dah lama tak mengupdate blog. Saja nak masukkan entry tentang percutian KPY sekeluarga ke Pulau Perhentian bermula cuti sekolah lalu. Memang dah rancang awal-awal untuk bercuti ke pulau. Anak-anak sibuk nak berenang dan "bersnorkerling" . Memandangkan tahun ni , tahun yang free sikit, tak de anak-anak yang mengambil peperiksaan besar jadi bolehlah jalan-jalan makan angin. Lagi pun kalau nak ke pulau ni kena tengok jugak musim. Hujung tahun memang lah dah tak boleh pergi. Laut bergelora.....hari tu pun dah kecut perut naik speed boat.Bila bot langgar ombak... rasa nak gugur jantung.Memang tak boleh jadi pelaut gamaknya. Suami kata kita " back to nature " .Asyik pergi tempat shopping je...... Tapi.....selepas back to nature....back to shopping kembali setelah berada di Pasar Payang....Apa lagi batik sutera daaaa...

Nak tengok hasil shopping kat Pasar Payang ....tunggu entry akan datang. Entry masak-memasak kita hold dulu...oven ku retak seribu.

Chalet - SENJA.

Pemandangan dari laluan pejalan kaki menuju ke jeti

Dekat tengah-tengah laut di Lighthouse point. Walaupun ikan-ikan tu berkeliaran kat hujung jari tapi susah untuk memegangnya.

Ketenangan

Ni lah chalet yang kami sekeluarga menginap. Sharila Resort. Menurut kata pemandu bot tu , resort ni sentiasa menjadi tumpuan.

Pemandangan dari tempat makan resort

Naik bot laju - ambil masa lebih kurang 30 minit. Dalam hati berdebar-debar.Takutnya ,sebab pagi tu sedikit berombak.Naik bot macam naik kuda.....

Dah nak balik dah  , setelah 2 malam menginap kat Pulau Perhentian.

Tuesday, April 10, 2012

Kuih Akok

Kuih Akok

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sekejap timbul , sekejap tenggelam. Itulah diriku kini. Jangan tenggelam tak timbul2 sudah. Jeng...jeng.,,,jeng. Kuih akok  dari  Ketuharpanasyatie. 
 
Bahan:
1.     6 biji telur
2.     250 ml santan pekat
3.     100 ml air
4.     140 g gula melaka @ ( 1 keping nisan + gula pasir )
5.     30 g tepung gandum
6.     1/2 tsp garam
7.     1 tsp essen vanilla
8.     3 helai daun pandan
9.     1 biji bunga cengkih
Cara:
1.     Masak gula melaka dgn air. Masukkan garam , bunga cengkih dan daun pandan. Bila  gula dah cair , tutup api.
2.     Tapiskan air gula ke dalam pati santan. Ketepikan.
3.     Pukul telur hingga kembang dan masukkan tepung gandum.
4.     Masukkan pati santan + air gula tadi . Teruskan pukul hingga sebati.
5.     Masukkan esen vanila.
6.     Tapiskan ke dalam jug supaya senang nak tuang dalam acuan.
7.     Bakar selama 10 minit -suhu 190 darjah selsius.




Monday, April 2, 2012

Saat - Saat Sibuk Dah Berlalu ( part 1 )

Dah lebih seminggu tak  menjengah dapur maya ni. Asyik sibuk dengan dapur sebenar je. Sudah berlalu saat-saat sibuk setiap Isnin . Selama 6 minggu yang lalu KPY sibuk dengan tempahan projek Unesco + UPM yang dijalankan di sekolah KPY. Kat bawah tu antara menu yang disediakan untuk seramai lebih 60 orang . Selain yang kat bawah tu , mereka juga meminta KPY sediakan nasi goreng + ayam goreng berempah , mee goreng , kuih muih serta air.Alhamdulillah.... semuanya dah berakhir. Bukan senang nak buat catering ni walaupun secara kecil-kecilan. Kita biasa masak untuk ahli keluarga je dan bila lebih 10 orang je mulalah menggelabah.Mula-mula tu memang tak boleh nak agak. Tapi rasanya , kalau buat kali kedua nanti rasanya dah boleh agak berapa banyak yang bahan yang hendak disediakan.Yang penting pihak yang menempah berpuas hati....

  
mee hoon

nasi lemak

p/s : Menunggu pertengahan April kerana ada lagi tempahan.Nak menolak tak sampai hati sebab orang dah berharap...

Sunday, March 18, 2012

Tukar Cat

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sesaja nak beritahu kat kawan-kawan yang KPY baru saja cat dapur . Lebih kepada warna alam , kehijauan. Susun atur barang-barang belum dapat nak buat lagi. Kepala dah pening.

Gatal sangat nak mengubah dapur , kerja yang sepatutnya buat tak buat lagi. Kek orang nak pagi esok entah ke mana lagi. Hari dah awal pagi ni ,mata dah mengantuk , dah banyak kali menguap ni.Nampak gayanya kena tidur dulu walaupun sekejap. Bye...

Wednesday, March 14, 2012

Mood ....Bosan

Assalamualaikum,

Tak tahu nak tulis apa. Mood suram seperti kesuraman cuaca di luar. Hanya rasanya aktiviti baring-baring sambil menonton tv , baca novel , jalan-jalan cari makan mungkin sesuai kut. Nak masak ? Penyakit M terlalu menebal. Rasa-rasanya tengah hari nanti angkut anak-anak makan kat luar....

Sekadar nak menghangatkan blog yang agak suram ni , jadi tempeklah gambar yang rasa-rasanya tak pernah muncul lagi.

Talam Abuk-abuk Seri Muka

Order dari Kak Munirah sempena majlis perkahwinan anak saudaranya .

Chocolate Cake with Strawberry
 Order dari Norlilawati


Chocolate Cake with Topping Ganache

Blueberry Cheese Cake


p/s -  novel Awak Sayang Saya Tak (ASST ) by Melur Jelita.

Wednesday, March 7, 2012

Yang ni je?

Harap maaf , gambar kurang memuaskan.Gambar pun dah jadi macam tuannya. Tak sihat. Dalam keadaan diri yang tak sihat tapi berjaya juga menghasilkan kek pengantin 3tiers. Bahagian atas tu sengaja dikosongkan tanpa ada hiasan sebab pengantin nak letak bunga segar.

KPY guna teknik steam butter cream.Tapi KPY dah menemui cara yang sangat-sangat mudah untuk membuatnya. Cepat je untuk 3 biji kek. Sangat senang dan cepat , tak macam yang KPY pernah belajar dulu.( kalau tak lenguh tangan nak mengacau)

Berbalik kepada tajuk , ingatkan nak letak gambar je memandangkan badan masih lagi tak sihat . Tapi dah panjang juga celotehnya.

* Sedang mencari waktu nak buka kelas baking and deco cake!

Wednesday, February 22, 2012

Talam Suji

Jeng...jeng....jeng...

Talam Suji

Tak payah nak berceloteh panjang. Kita layan resipi talam suji......

Sumber asal : Azimah Mansor

Bahan:

Lapisan Bawah
150 g tepung suji / semolina 
20 g tepung gandum
2 biji telur ( saiz A)
pewarna- lemon yellow( letak sikit2 - tengok kesesuaian warna)
120 g gula pasir
700 ml santan cair
1/2 tsp garam

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan di dalam periuk ( pewarna  - masukkan sedikit. tengok kesuaian warna).Kacau bahan agar tidak berketul.
2. Masak di atas api , kacau sehingga separuh masak - agak pekat.
3. Tuang ke dalam loyang 10 x 10 inci yang dialas plastik(14x14)
4. Kukus selama 20 minit .

Lapisan Atas 

700 ml santan pekat
1 tsp essen vanilla
1/2 tsp garam
150 g tepung gandum
50 g gula pasir
200 g gula melaka / gula merah
1 tsp coklat emulco
2 biji telur ( saiz A )

Cara:
1. Kisar kesemua bahan kecuali telur dan coklat emulco hingga hancur.Masukkan telur ke dalam bahan kisaran dan kisar sekali sahaja.
2. Tapiskan bahan kisaran ke dalam periuk.Masukkan coklat emulco.
3. Kacau bahan tadi di atas api sehingga naik wap dan tuangkan ke atas lapisan bawah.
4. Kukus selama 25 -30 minit atau hingga masak.

* Kadang-kadang tu , resipi sama tapi apabila dibuat oleh 2 orang yang berbeza , rasanya ada kelainan.Ada yang sedap dan ada yang kurang. Kuih tradisional ni yang penting dari segi lemak dan manis.Kalau tak cukup 2 perkara tu , kuih jadi kureeeng.

SELAMAT MENCUBA




Friday, February 10, 2012

Nasi Lemak Hijau

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pengunjung KPY. Masukkan gambar dulu ya. Resipi akan diletak nanti. Minggu lepas je 2 kali masak menu ni. Malam ni KPY kena bertungkus lumus nak menyediakan nasi lemak hijau untuk kawan-kawan kat sekolah esok .




Nasi Lemak Hijau

Bahan:

3 cawan beras ( KPY guna basmathi moghul faiza)-sbb tu pjg.
4 cawan santan .( sederhana pekat )
1/2 cawan jus pandan .(4 helai )
2 tbls minyak masak
1 tsp garam
1 tbls gula
pewarna hijau( optional )

Cara:
1. Basuh beras . Masukkan kesemua bahan. Masak seperti biasa. ( KPY guna dapur gas je )

2. Apabila sudah menggelak, kacau hingga betul2 kering. Perlahankan api. Tutup periuk dengan kemas.

3. 15-20 minit nasi akan masak.

Selamat Mencuba