Wednesday, February 22, 2012

Talam Suji

Jeng...jeng....jeng...

Talam Suji

Tak payah nak berceloteh panjang. Kita layan resipi talam suji......

Sumber asal : Azimah Mansor

Bahan:

Lapisan Bawah
150 g tepung suji / semolina 
20 g tepung gandum
2 biji telur ( saiz A)
pewarna- lemon yellow( letak sikit2 - tengok kesesuaian warna)
120 g gula pasir
700 ml santan cair
1/2 tsp garam

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan di dalam periuk ( pewarna  - masukkan sedikit. tengok kesuaian warna).Kacau bahan agar tidak berketul.
2. Masak di atas api , kacau sehingga separuh masak - agak pekat.
3. Tuang ke dalam loyang 10 x 10 inci yang dialas plastik(14x14)
4. Kukus selama 20 minit .

Lapisan Atas 

700 ml santan pekat
1 tsp essen vanilla
1/2 tsp garam
150 g tepung gandum
50 g gula pasir
200 g gula melaka / gula merah
1 tsp coklat emulco
2 biji telur ( saiz A )

Cara:
1. Kisar kesemua bahan kecuali telur dan coklat emulco hingga hancur.Masukkan telur ke dalam bahan kisaran dan kisar sekali sahaja.
2. Tapiskan bahan kisaran ke dalam periuk.Masukkan coklat emulco.
3. Kacau bahan tadi di atas api sehingga naik wap dan tuangkan ke atas lapisan bawah.
4. Kukus selama 25 -30 minit atau hingga masak.

* Kadang-kadang tu , resipi sama tapi apabila dibuat oleh 2 orang yang berbeza , rasanya ada kelainan.Ada yang sedap dan ada yang kurang. Kuih tradisional ni yang penting dari segi lemak dan manis.Kalau tak cukup 2 perkara tu , kuih jadi kureeeng.

SELAMAT MENCUBA




Friday, February 10, 2012

Nasi Lemak Hijau

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pengunjung KPY. Masukkan gambar dulu ya. Resipi akan diletak nanti. Minggu lepas je 2 kali masak menu ni. Malam ni KPY kena bertungkus lumus nak menyediakan nasi lemak hijau untuk kawan-kawan kat sekolah esok .




Nasi Lemak Hijau

Bahan:

3 cawan beras ( KPY guna basmathi moghul faiza)-sbb tu pjg.
4 cawan santan .( sederhana pekat )
1/2 cawan jus pandan .(4 helai )
2 tbls minyak masak
1 tsp garam
1 tbls gula
pewarna hijau( optional )

Cara:
1. Basuh beras . Masukkan kesemua bahan. Masak seperti biasa. ( KPY guna dapur gas je )

2. Apabila sudah menggelak, kacau hingga betul2 kering. Perlahankan api. Tutup periuk dengan kemas.

3. 15-20 minit nasi akan masak.

Selamat Mencuba

Thursday, February 9, 2012

Yang Lepas

Assalamualaikum dan selamat pagi semua....Supaya dapur ni tidak bersawang jadi KPY letakkan gambar yang rasa-rasanya belum pernah dimasukkan lagi. Nak tulis resipi , mood malas masih lagi melanda. Nanti KPY masukkan entry tentang nasi lemak hijau ya. Minggu lepas 2 kali buat.... memang sedap....
dari Saleza

dari Rosnah

dari Kak Zu

Sunday, January 29, 2012

Nasi Tomato Ala KPY


Hari ni masak nasi tomato bersama ayam masak merah. Anak yang duduk kat asrama tu siap bertanya, bila mama nak masak nasi tomato. Ke mama nak masak bila dia balik asrama? Kesian pulak mendengarnya. Jom kita layan resipi nasi tomato cara KPY.Resipi ayam masak merah next time...maklumlah mood rajin tak kunjung tiba....esok dah start kerja balik. Lepas ni nak buat urusan menggosok baju anak2 pulak. Hari2 yang sibuk bakal bermula...

Nasi Tomato

Sumber : KPY

Bahan:
4 cawan beras basmathi ( cawan periuk elektrik)
1/2 tin tomato puri
1 sudu besar minyak sapi
1 sudu besar planta
1 cawan susu cair
1 biji bawang besar -mayang halus
2 ulas bawang putih - mayang halus
1/2 inci halia - mayang halus
rempah 4 sekawan utk menumis( kayu manis , bunga lawang,bunga cengkih dan buah pelaga )
gula
garam 
5 cawan air ( gunakan cawan yg sama utk sukat beras)

Cara:
1. Basuh beras dan toskan
2. Panaskan minyak sapi dan planta. Masukkan rempah 4 sekawan, kemudian , masukkan bahan2 yg telah dimayang halus tadi. Kacau sehingga naik bau dan warna keperangan.
3. Masukkan tomato puri - kacau biar agak masak.
4. Masukkan air dan susu cair.
5. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Tunggu sehingga mendidih baru masukkan beras.Kacau dan kaupbalikkan sehingga kering.
6. Perlahankan api , tutup periuk dengan kemas dan biar sehingga masak.
* KPY guna periuk biasa je. Boleh juga kalau nak guna pengukus. Nasi elok je tak berkerak.( bila nasi sudah kering , alihkan ke dalam pengukus. )

* yatie guna beras monghul basmathi, besar dan panjang ulas nasinya.

Friday, January 27, 2012

Kek Gula Hangus a.k.a. Sarang Lebah


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung blog KPY. Dah lama tak bersiaran. Nak kata sibuk , taklah sibuk sangat sebabnya KPY sempat je mengintai dari kejauhan blog rakan-rakan semua tapi tak sempat nak tulis komen. Ingatkan cuti seminggu sempena CNY ni sempatlah nak update blog . Nampak gayanya penyakit M ni semakin menjadi-jadi. Apa pun jom makan kek gula hangus dulu ya.

Sumber : My Resipi
Sumber : KPY ( ada sesetengah sukatan / bahan KPY dah ubah dari resipi asal )

Bahan:
1 cawan gula pasir
1  cawan air panas
90 g butter ( 2 sudu besar )
4 biji telur ( A )
1cawan susu pekat
1 tsp essen vanilla
1 cawan tepung gandum
2 tsp soda bikarbonat
1/2 tsp garam

Cara:
1. Panaskan gula pasir dalam periuk yg kering. Biarkan sehingga bewarna perang dan menjadi cair. Masukkan air panas .( bahan tadi akan meletup-letup buat seketika ). Kacau sehingga gula tadi hancur.Masukkan butter. Kacau hingga butter cair.
2. Pukul telur hingga pekat dan masukkan susu pekat.Pukul lagi sehingga sebati dan masukkan essen vanilla.
3. Ayak tepung , garam dan soda bikarbonat. Masukkan ke dalam adunan tadi dan pukul hingga sebati.
4. Masukkan sirap gula tadi ke dalam adunan. Pukul agak lama - 5 minit.
5. Kalau nak nampak lubang2 yang banyak pada kek , seelok-eloknya biarkan kek 3-4 jam sebelum membakarnya.
* KPY hanya biarkan lebih kurang 45 minit je sbb tak sabar2 nak makan.
6. Bakar pada suhu 160 darjah selcius selama lebih kurang 1 jam. Gunakan api bawah sahaja. 10 minit terakhir , barulah guna api atas bawah. Bagi yang guna oven biasa tu , gunalah cara biasa je. Kalau tak masak tambah dalam 10-15 minit je lagi masa membakar.

SELAMAT MENCUBA

Tuesday, January 3, 2012

Pembuka Tirai 2012


Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat kawan-kawan serta pengunjung blog KPY. Selamat menyambut tahun baru 2012  . Semoga tahun ini membawa lebih banyak kenikmatan dan kegembiraan kepada kawan-kawan semua. KPY agak sibuk sikit menjelang sesi persekolahan 2012 ini. Sibuk nak menyediakan kelengkapan anak-anak dan juga diri sendiri. Kadang-kadang tu , bila buka sesi baru bukan setakat anak bahkan emaknya juga berkehendakkan serba sedikit benda yang baru....

Apa pun sempena tahun baru 2012 ini, KPY dirasmikan dengan kek hantaran pertunangan Nana dan Arie. Selamat Bertunang daripada KPY. KPY sendiripun tak mengenali Nana dan Arie ni , apa pun semoga hubungan kalian berkekalan hingga ke jinjang pelamin.Amin.

Friday, December 16, 2011

Hantaran dan Kek Perkahwinan

Assalamualaikum.Salam pagi Jumaat, penghulu segala hari. Semoga apa yang dilakukan hari ini mendapat keberkatan. Yatie masukkan N3 tentang gambar kek hantaran  dan kek kawin jiran Yatie yang telah telahpun berlangsung pada 2 minggu lepas. Maaflah gambar kurang jelas. Ni pun ambik dari FB yang diupload guna hphone. Nanti kita replace gambar  dari kamera. Pengantinnya minat warna merah , jadi keknya pun merahlah jawabnya. Alhamdulillah, berkali-kali emak pengantin cakap yang anaknya puas hati dan kek pun sedap.

Sebenarnya jiran KPY menggunakan khidmat katering masa majlis tu dan pihak katering ada memberikan kek kawin 2 tingkat percuma tapi jiran KPY tolak. Anaknya nak KPY juga yang buat.Alhamdulillah semuanya dah selesai.


gambar dari kamera

sementara menunggu pengantin memotong kek

 Kek Hantaran
( butter cake with steam butter cream )

Kek Perkahwinan
( Butter cake+ chocolate cake with steam butter cream)

Selamat menjamu mata.Hari ni nak bawak anak-anak + anak sedara pergi breakfast , beli kelengkapan sekolah , pergi KLCC , UITM dan  I-City. Tahniah juga buat anakanda yang ditawarkan ke asrama penuh.

Friday, December 9, 2011

Tepung Bungkus

Sebagai pembuka tirai setelah agak lama berehat daripada berblogging ,  KPY hidangkan rakan-rakan dengan hidangan pemanis mulut.Yeaaah...Tepung Bungkus.Pertama kali KPY buat , nasib baik menjadi. Memang dah lama teringin nak buat kuih tradisional ni. Kalau  beli , memang susah nak dapatkan yang betul2 sedap. Kuih tradisional macam ni yang pentingnya dari segi lemak dan manisnya tu. Siap beli daun pisang lagi....maklumlah kat sekitar rumah tak de pokok pisang.


Sumber: KPY

Bahan Inti:
250 g kelapa parut putih
100 g gula pasir
70 g gula merah
1 tsp garam
2 helai daun pandan - disimpul
1 tbls tepung gandum
100 ml air

Cara-cara:
1. Masukkan kesemua bahan kecuali tepung gandum ke dalam kuali dan masak hingga pekat.
2. Setelah pekat masukkan tepung gandum. Kacau supaya lebih pekat. Biarkan sejuk.
3. Bulat-bulatkan inti tadi dan golekkan dengan tepung pulut supaya melekat.


Bahan Tepung:
3 cawan tepung beras
6 cawan santan yang agak pekat
1 1/2 tsp garam
1 tbs gula
Daun pisang secukupnya.

Cara:
1. Masukkan tepung beras , santan , garam dan gula ke dalam periuk.
2. Kacau di atas api yang sederhana sehingga separuh masak ( pekat )
3. Ambik 2 sudu makan tepung tadi letakkan di atas daun pisang dan letakkan  2 biji inti tadi. ( Jarakkan sedikit ).Ambil lagi 1 sudu tepung dan tutup di atas inti.
4. Bungkuslah daun pisang seperti nak buat lepat . Bungkus sampai habis.
5. Susun dalam pengukus dan kukus lebih kurang 20 - 25 minit.
6. Tunggu sejuk baru sedap dimakan.

* Suami kata tepung bungkus KPY gemuk-gemuk. Nak cepat habiskan proses pembungkusan sebenarnya. Tapi kalau nak berniaga rugiiiiiiii.

Tuesday, December 6, 2011

Tak Sabar Menunggu....

Maaf semua .Lama tak up-date blog. Agak sibuk sikit. Yang pentingnya lagi dua hari nak menghabiskan tugasan rasmi ni. Lepas ni , bolehlah nak mengadap blog sepuasnya. Banyak benar bahan -bahan yang belum dimasukkan. Walaupun sibuk dengan tugas rasmi , tapi tempahan dan rutin memasak tetap berjalan.

Kepada rakan-rakan yang bercuti tu , selamat bercuti.KPY nak bersiap-siap ni sebab jap lagi nak pergi bertugas....Bye.

Wednesday, November 16, 2011

Selamat Bertugas

Dah seminggu lebih tak update blog. Dari sebelum cuti Aidil Adha hingga sekarang , kesibukan melanda KPY. Dengan order untuk kek dan kuih- muih , order untuk jamuan ringan , tugas-tugas sekolah yang perlu diselesaikan dan sekarang bertugas mengawas SPM. Hujung tahun ni nampak gayanya percutian keluarga terpaksa ditundalah kerana kekangan masa. Lagipun cuti suami pun terpaksa dibekukan . Hujung tahun yang sibuk....

Selamat bertugas untuk kawan-kawan blogger yang memikul tanggungjawab seperti KPY. Berkhidmat Untuk Negara.

Sebagai pengubat rindu , KPY hidangkan rakan2 dengan nasi kerabu ya. Ayam bakar tak sempat nak ambik gambar...


Nasi Kerabu dengan budu tumis