Monday, October 8, 2012

Terbaru dari KPY


Assalamualaikum semua....semoga terus ceria dan sihat. Lebih2 lagi bila menatap gambar cheese cake kat atas tu......nampak mewah dengan taburan cheese . 2-3 hari ni tenung gambar dulu ya......nanti bila free Yatie masukkan resipi. Almaklumlah hujung2 tahun ni terlalu sibuk dgn tugasan rasmi.Tungguuuuuuuuuuuuuuuuu.

Wednesday, September 19, 2012

Kembali .....bersama...

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat kawan-kawan dan juga pengunjung ketuharpanasyatie. Dah lebih sebulan tak mengemaskini blog. Penyakit M datang melanda , puas ditepis-tepis tapi tak berdaya. Maka hari ni gagahkan juga melawannya. Berhasillah entry yang tak seberapa ini....Bukannya apa, nanti kalau lama-lama sangat tak jumpa jalan nak masuk dapur sendiri. Lagi haru....
 
Ramadhan dan Syawal dah berlalu , mungkin dapat atau tidak kita bertemu dengan bulan yang penuh kemuliaan ini lagi. Sepanjang tak bersiaran dalam blog sendiri ni , Yatie sempat jugak buat rondaan kat dapur kawan-kawan .Macam2 menu yang menyelerakan dihidangkan sempena hari raya baru-baru ni.
 
Kat bawah tu , Yatie sediakan popia untuk kengkawan yang datang bertandang pada minggu lepas.Goreng masa dia orang datang , baru panas dan rangup. Letak dalam freeze dan bila hendak goreng keluarkan je. Boleh tahan lama  , kalau dibekukan.
 


Popia
Bahan:

kulit popia secukupnya
2 batang carrot
1 biji sengkuang sederhana besar
1/2 kg sayur campur ( beli kat pasar raya )
2 ulas bawang besar
1 cawan isi udang dicincang halus
3 sudu besar minyak + minyak secukupnya utk menggoreng
garam
gula
1 biji telur
Cara:
1. Carrot dan sengkuang di sagat halus.
2. Bawang besar di potong dadu
3. Tumiskan bawang besar , masukkan udang dan tumis sampai keemasan.
4. Masukkan sayur campur , gaul sebentar dan masukkan pula sengkuang dan carrot yang sudah diparut.
4. Masukkankan garam dan gula secukup rasa.
* jangan letak air , biarkan bahan-bahan agak kering.
5. Apabila sayur sudah agak lembik , tutupkan api dan angkat ke dalam bekas.
6. Keluarkan kulit popia dan letak sayuran tadi mengikut kesesuaian , gulungkan dan dihujungnya sapu dgn telur agar kulit popia tadi melekat. Susun dalam bekas macam kat atas tu..Taaaadaaaa, dah siap.
7. Siap untuk digoreng. Gunakan api yang kecil je semasa menggoreng. Goreng sehingga warna keemasan ya.


Sos:

10 biji  cili kering
 ulas bawang putih 
1 genggam kismis
gula
cuka
garam
air

cara:
1. Cili , bawang putih dan kismis di kisar halus - tuang ke dalam periuk
2. Masukkan air ( 2 cawan ) ke dalam periuk .
3. Masukkan gula , cuka dan garam secukup rasa.
4. Masakkan sehingga pekat.

Tuesday, July 31, 2012

Alhamdulillah.......Perintah Berkurung Dah Berakhir

Assalamualaikum dan salam sejahtera kawan-kawan,

Jangan terkejut pulak dengan tajuk kat atas tu ya. Tak ada perintah berkurung yang sebenarnya berlaku kat sini. Alhamdulillah , dah berakhir saat-saat membosankan dalam hidup Yatie selama seminggu ni.Seminggu tak keluar rumah , rasa tension jugak.Memasak pun tak boleh...bukan tak boleh memasak tetapi kita masak untuk diri sendiri je. Tak  boleh nak sediakan untuk orang lain. Peralatan pun tak boleh berkongsi. Terasa duduk dalam penjara pulak sebabnya makan sorang-sorang dalam bilik dan yang kelakarnya , anak atau suami akan letak makanan tu depan pintu bilik. nanti bila dia orang dah beredar , barulah kita keluar ambik makanan tu...

Nasib baik jugaklah sekarang ni bulan puasa. Senang sikit nak dapatkan juadah berbuka dan bersahur. Dan nasib baik juga kat taman ni ada pasar ramadhan. Bolehlah suruh anak pergi beli. Harapan Yatie biarkan keputusan mengambil ubat ini nanti positif , tapi kena tunggu bulan Oktober baru berjumpa doktor.

Ha...berbalik pada gambar kat bawah tu,  Yatie akan mula buat next week kut. Tapi tengok dulu pada tahap kerajinan untuk membuatnya.Tahun ni buat untuk sendiri dan untuk bawak balik ke kampung je. Tahun ni  tak ambik order biskut raya kecuali  untuk teman2 terdekat yang kecil kuantitinya. Tahun ni juga merupakan tahun yang aman untuk meraikan bulan yang mulia kerana tak terkocoh-kocoh untuk menyiapkan tempahan raya. Kalau tak ,  nak balik berbuka puasa kat kampung pun tak boleh sebabnya masa cutilah kita pulun buat biskut. Rumah pun tak bersepah....kalau tak maklum sajalah , penuh dengan barang-barang. Bila difikirkan balik , itulah perjalanan hidup yang tuhan dah tentukan.


Tart Nenas...konon-kononnya nak mulakan minggu depan selepas balik dari kg.
Kita tengoklah menjadi ke tidak.


Laksa kuah lemak putih ..... harapan-tinggal harapan je lah sebab buat masa ni Yatie masih pantang makanan laut.
                              
Yang ni pun saja letak koleksi gambar lama ..... Jemput-jemput ikan bilis dengan udang. Semuanya pantang lagi. Tunggu hari raya baru boleh kut.
                                    

Thursday, July 26, 2012

Sedang Mengkuarantinkan Diri

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Dikesempatan ini Yatie nak ucapkan selamat berpuasa kepada kawan-kawan dan selamat melakukan ibadah-ibadah lain di bulan yang mulia ini. Seronok tengok kawan-kawan mempamerkan hidangan yang menyelerakan sepanjang bulan puasa ni ya.Yatie kena duduk diam-diam, apatah lagi nak memasak juadah.

Berbalik kepada tajuk kat atas tu , Yatie telah selamat meminum I - 131 untuk rawatan sakit thyroid di HUKM pada hari Selasa lepas. Jadinya kena kuarantinkan diri dari berjumpa dengan orang ramai kerana kandungan I-131 tu  merbahaya kepada orang lain terutamanya kanak-kanak dan wanita mengandung.Sekarang ni memang duduk sorang-soranglah . Dapat MC 8 hari .tau tak nak buat apa. Tak sabar nak tunggu Selasa depan. Lagi satu sekarang ni kena berpantang selama sebulan.....Huarghhhh , tu yang tak tahannya. Baru mengidam nak buat bubur lambuk stye kat kampung....nampaknya melepaslah...

Buat kawan-kawan  , selamat berpuasa sekali lagi , selamat memasak untuk juadah berbuka dan selamat membuat biskut raya.....Ketuharpanasyatie tahun ni memang merileks kan diri.

Thursday, July 19, 2012

Selamat Datang Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Sempena kedatangan bulan yang mulia ni Yatie nak ucapkan selamat berpuasa kepada muslimin dan muslimat di luar sana. Semoga Ramadhan kali ini membawa seribu keberkatan , kerahmatan , dan kebaikan  kepada kita semua.

Di sini juga Yatie nak memaklumkan bahawa pada tahun ini Yatie berhenti rehat daripada membuat biskut raya atas sebab-sebab kesihatan. Kesian kat kawan-kawan yang menjadi peminat setia. Semuanya frust sebab tak ada stok biskut raya dari KPY. InsyaAllah next year.....itu pun kalau diberi kesihatan olehNya.

Sekarang ni tak ada entry pasal makanan sebab tengah berpantang dan sudah beberapa hari dapur tak berasap. Order kat kedai je....Nasib baik dah dekat nak puasa . Banyaklah pilihan anak-anak untuk berbuka dan bersahur.

Minggu depan KPY nak buat rawatan kesihatan. Doakan semoga berjaya ya...

Wednesday, July 4, 2012

Ada yang nak kena cili ni.....

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua....

Sambil mengisi masa yang ada beberapa minit  sebelum bersiap ke sekolah ni KPY nak share mengenai cili kat bawah tu....  Rasa-rasanya susah nak jumpa cili jenis ni melainkan kat Kelantan. Tapi yang ni Yatie beli kat sini je di pasar malam . Tu pun tak selalu ada. Cili ni biasanya orang buat solok lada. Tu yang sedap, sebab baunya berbeza dengan cili yang biasa dijual kat sini. Yatie beli bukan nak buat solok  , tapi nak masukkan dalam gulai , goreng daging ke atau telur . Memang bau dan rasanya sedap...

Bulan puasa ni eloklah buat stok banyak sikit. Tajuk tu tak ada kena mengena ya dengan cerita.

 

Monday, July 2, 2012

Kerabu Jantung Pisang

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua....

Kerabu jantung pisang....sedap juga kalau makan bersama-sama dengan nasi panas ataupun ratah saja pun ok. Penuh dengan khasiat. Kerabu ni Yatie dah buat lama , sekarang baru nak tempek kat sini.
Kalau bulan puasa ni memang best sebab kalau berkuah-kuah tu masa bulan puasa tak berapa selera..Ingat dulu masa kat kampung emak selalu buat nasi ulam....pergggh, aromanya menusuk hidung. Kat kampung senanglah nak kutip daun-daun kayu. Sekeliling rumah je....Di sini kena beli , tu pun bukan semua pucuk-pucuk yang kita nak ada...


 

Yatie letak bahan-bahan je ya . Tak de sukatan yang spesifik. Almaklumlah jenis yang masak pakai campak-campak je...Kalau lauk-pauk tak pakai sukatan sangat tapi kalau kek / biskut kena sukat betul2. Nanti tak menjadi pulak.

Bahan:
Jantung pisang - satu biji ( hiris halus dan celur )
Ikan kembung- 2 ekor ( rebus /kukus )*
3-4 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
 1 cm halia*
1 tsp lada hitam *
2 sudu makan kerisik
daun kesom - hiris halus
gula
garam

Cara:
1. Tumbuk bahan yang  bertanda * hingga hancur.
2. Gaulkan dengan jantung pisang yang telah ditoskan .
3. Masukkan kerisik , daun kesom , gula dan garam secukup rasa.

* boleh jugak nak letak santan pekat biar kerabu berair sikit tapi kalau campur santan kena makan terus . Kalau simpan kemungkinan cepat basi.

Thursday, June 28, 2012

Tetiba Mengidam.






Assalamualaikum......Selamat Pagi semua.

Tetiba pulak tekak ni nak makan sesuatu yang manis . Yang kat bawah tu pun senang jugak nak buat.



Resipi  Yatie dah ada postkan sebelum ini dalam label: resipi ( jom masak bersama KPY)
Bye-bye . Nak ke dapur pulak nak buat kuih kat atas tu. Yg tu dah lama habis.

Wednesday, June 27, 2012

Kek Pisang Wangi


Assalamualaikum dan selamat pagi semua....

Alhamdulillah . Masih boleh meneruskan aktiviti harian sebagai guru dan juga suri rumah separuh masa. Tapi urusan membaking dan memasak untuk tempahan memang KPY dah stop buat sementara ni sehingga kesihatan pulih kembali. Lepas ni pun kena tapis-tapis untuk terima order.


Pesanan buat kawan2 yang memang mengambil tempahan yang banyak tu kena hati-hati sikit. Sememangnya kita akan duduk atau berdiri untuk satu-satu tempoh masa yang lama. Nak-nak di musim raya yang bakal menyusul tak lama lagi. Ini yang berlaku pada diri sendiri sebulan yang lalu bila tiba-tiba sewaktu bangun tidur terasa pergerakan yang kuat sekitar punggung dan belakang. Sakit tak terkata. Selepas operation nanti baru Yatie tuliskan ya.


KPY untuk tahun ni memang tak terima tempahan kecuali untuk kegunaan sendiri tu buatlah agaknya. Tengok jugak pada kesihatan , kalau terlalu sakit dan tak boleh nak fokus , macam mana nak buat kerja.


Sakit yang Allah berikan tu ada hikmah disebaliknya. Yatie pun rasa tenang , tak sibuk macam dulu , tak stress nak siapkan order. Kadang-kadang tu terima order sebab kesian . Orang dah merayu-rayu , nak tolak tak sampai hati.

Pesanan akhir untuk kawan-kawan jagalah kesihatan. Jika sakit semua benda tak boleh nak diselesaikan....Hargailah waktu sihatmu sebelum tiba waktu sakit.

Berbalik pada gambar kat bawah tu , sempat jugaklah KPY buat kek pisang yang simple tapi sedap untuk dibawa ke sekolah sempena birthday Isnin lepas.




Bahan:

4 biji pisang ( yati guna pisang rastali- dilenyek) - guna pisang yang manis2 gitew.

3 biji telur ( saiz A )

1 3/4 cawan tepung naik sendiri *

1/4 cawan tepung jagung *

1 cawan gula perang

1 cawan minyak masak

1 tsp soda bikarbonat *

1/2 tsp baking powder *

secubit garam *


Cara:

1. Pukul telur dengan gula hingga kembang.

2. Masukkan pisang yang telah dilenyek. Putar.

3. Masukkan semua bahan bertanda * yang telah digaul ke dalam pemutar.

4. Masukkan minyak masak. Sama ada nak terus putar atau kaup balikkan dengan spatula.

5. Bakar lebih kurang 45 minit - suhu 180 darjah .



Tuesday, June 19, 2012

Monumen-monumen Indah di TTI

Assalamualaikum......salam sejahtera.

Gambar -gambar kenangan semasa kpy melawat ke Taman Tamadun Islam baru-baru ini. Ni je yang larat nak upload. KPY tak boleh nak berdiri ataupun duduk lama-lama. Sakit pinggang. Dua hari lagi baru nak jumpa doktor pakar.....tak larat nak menahan sakit. Alhamdulillah masih diberi kekuatan untuk melaksanakan tugas. Allah Maha Besar. Terasa  satu keajaiban kerana masa di rumah memang sangat2 sakit dan bila tiba di sekolah, kemungkinan dengan adanya aura tempat kerja....rasa sakit berkurangan.

KPY memang dah stop aktiviti membaking dan kerja2 berat. Tak boleh nak fokus sebab menahan kesakitan. Maka hargailah masa sihat sebelum sakit.....

Layan je la gambar ni ya..










Tuesday, June 12, 2012

Wajik Durian


Assalamualaikum..... selamat petang.

Sudah minum petang ke semua kawan-kawan  ? KPY saja tanya je....nak ajak minum petang kat rumah pun , tuan rumah tak berapa sihat. Gambar kat bawah tu saja tayang. Dah habis dah.....Bila badan sakit-sakit ni , rindu sangat-sangat waktu sihat. Hari ni terpaksa ambik cuti sakit sebab tak larat nak berdiri lama ataupun duduk. Mesti kena baring....


wajik durian
 KPY buat wajik tu saja suka-suka je....tak ada resipi yang tepat. Pakai masukkan je tanpa sukatan. Agak terlembik sikit . Nanti KPY cari resepi kat mana-mana dan tempek kat sini ya....belakang dah sakit ni....tahun ni merupakan tahun melawat hospital dan klinik bagi KPY rasa-rasanya.

Thursday, June 7, 2012

Puding Permata Delima @ Red Ruby


Assalamualaikum dan salam sejahtera....

Cuaca yang agak panas sejak akhir-akhir ni boleh membuatkan kesihatan turut terjejas. Dari sudut lain memang la suka sebab urusan mendobi berjalan dengan lancar. Boleh 2-3 round. KPY pun sedang bercuti jadi senanglah sikit sebab tak ke mana . Duduk di rumah je. Nak keluar rumah pun fikir banyak kali.

Hari ni tiba-tiba teringin nak makan sesuatu yang segar. Tapinya red ruby kita tak lengkap. Puas pusing dengan kereta cari orang jual nangka. Biasanya banyak , tapi mungkin disebabkan musim cuti sekolah ni, penjual nangka kat tepi2 jalan pun bercuti jugak... Kalau ada nangka tu lagi meletopsss .
Yang pentingnya menjelang malam ni dah 2 kali pekena red ruby ni...sejuk terasa kat tekak...

Permata Delima
Bahan-bahan:
1. 1 biji ubi sengkuang sederhana besar - potong dadu ( kecil2)
2. 5 sudu besar tepung ubi kayu
3. 500 ml santan pekat
4. 10 sudu besar gula pasir
5. 4 ulas nangka - disiat halus ( kalau ada )
6. 1/2 tsp garam
7. ais
8. pewarna merah - secukupnya

Cara :
1. Rendamkan sengkuang yang dipotong dadu dengan pewarna merah lebih kurang 30 minit.
2. Toskan dan gaul dengan tepung ubi kayu.
3. Panaskan air sehingga menggelegak dan masukkan sengkuang tadi. Kacau perlahan dan biarkan seketika sehingga bahan tadi menggelegak kembali.
4. Angkat dan toskan.
5. Panaskan santan bersama garam - ketepikan
6. Masak gula pasir dengan air sehingga pekat. Masukkan nangka. Tutup api.
7. Cara hidang - Letakkan sengkuang dah sudah cantik , sedikit santan , air gula dengan nangka dan ais secukup rasa. Nyummmmmmm Nyummmmm.

* kalau suka boleh letak sagu biji yang berwarna warni , cendol dan bahan-bahan lain.
First time makan benda ni masa mengajar di Selayang Baru dulu. Ada orang Thai yang jual . memang sedap...

Tuesday, June 5, 2012

Retak Seribu

Tolong....tolong ...tolong.
Ada tak sesiapa atau kawan-kawan kat luar sana yang pernah alami perkara sebegini. Sama ada boleh diganti cermin luar atau dah tak boleh guna langsung. Kalau boleh ganti cermin tu agak-agaknya kat mana ya?

Yatie pun dah pakai oven ni dalam lebih 7 tahun. Memang berbaloilah. Hampir setiap hari guna. Tetiba pulak hari kejadian tu boleh jadi cenggini. Nak kata terlalu panas tu, tak mungkin sebab tengah bakar kek tak sampai sejam. Biasa tu 4-5 jam guna ok je...

Cermin luar oven - retak seribu. ( Oven Jenama Electrolux )

Sunday, June 3, 2012

Panggilan Pulau

Assalamualaikum semua. Dah lama tak mengupdate blog. Saja nak masukkan entry tentang percutian KPY sekeluarga ke Pulau Perhentian bermula cuti sekolah lalu. Memang dah rancang awal-awal untuk bercuti ke pulau. Anak-anak sibuk nak berenang dan "bersnorkerling" . Memandangkan tahun ni , tahun yang free sikit, tak de anak-anak yang mengambil peperiksaan besar jadi bolehlah jalan-jalan makan angin. Lagi pun kalau nak ke pulau ni kena tengok jugak musim. Hujung tahun memang lah dah tak boleh pergi. Laut bergelora.....hari tu pun dah kecut perut naik speed boat.Bila bot langgar ombak... rasa nak gugur jantung.Memang tak boleh jadi pelaut gamaknya. Suami kata kita " back to nature " .Asyik pergi tempat shopping je...... Tapi.....selepas back to nature....back to shopping kembali setelah berada di Pasar Payang....Apa lagi batik sutera daaaa...

Nak tengok hasil shopping kat Pasar Payang ....tunggu entry akan datang. Entry masak-memasak kita hold dulu...oven ku retak seribu.

Chalet - SENJA.

Pemandangan dari laluan pejalan kaki menuju ke jeti

Dekat tengah-tengah laut di Lighthouse point. Walaupun ikan-ikan tu berkeliaran kat hujung jari tapi susah untuk memegangnya.

Ketenangan

Ni lah chalet yang kami sekeluarga menginap. Sharila Resort. Menurut kata pemandu bot tu , resort ni sentiasa menjadi tumpuan.

Pemandangan dari tempat makan resort

Naik bot laju - ambil masa lebih kurang 30 minit. Dalam hati berdebar-debar.Takutnya ,sebab pagi tu sedikit berombak.Naik bot macam naik kuda.....

Dah nak balik dah  , setelah 2 malam menginap kat Pulau Perhentian.

Tuesday, April 10, 2012

Kuih Akok

Kuih Akok

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sekejap timbul , sekejap tenggelam. Itulah diriku kini. Jangan tenggelam tak timbul2 sudah. Jeng...jeng.,,,jeng. Kuih akok  dari  Ketuharpanasyatie. 
 
Bahan:
1.     6 biji telur
2.     250 ml santan pekat
3.     100 ml air
4.     140 g gula melaka @ ( 1 keping nisan + gula pasir )
5.     30 g tepung gandum
6.     1/2 tsp garam
7.     1 tsp essen vanilla
8.     3 helai daun pandan
9.     1 biji bunga cengkih
Cara:
1.     Masak gula melaka dgn air. Masukkan garam , bunga cengkih dan daun pandan. Bila  gula dah cair , tutup api.
2.     Tapiskan air gula ke dalam pati santan. Ketepikan.
3.     Pukul telur hingga kembang dan masukkan tepung gandum.
4.     Masukkan pati santan + air gula tadi . Teruskan pukul hingga sebati.
5.     Masukkan esen vanila.
6.     Tapiskan ke dalam jug supaya senang nak tuang dalam acuan.
7.     Bakar selama 10 minit -suhu 190 darjah selsius.




Monday, April 2, 2012

Saat - Saat Sibuk Dah Berlalu ( part 1 )

Dah lebih seminggu tak  menjengah dapur maya ni. Asyik sibuk dengan dapur sebenar je. Sudah berlalu saat-saat sibuk setiap Isnin . Selama 6 minggu yang lalu KPY sibuk dengan tempahan projek Unesco + UPM yang dijalankan di sekolah KPY. Kat bawah tu antara menu yang disediakan untuk seramai lebih 60 orang . Selain yang kat bawah tu , mereka juga meminta KPY sediakan nasi goreng + ayam goreng berempah , mee goreng , kuih muih serta air.Alhamdulillah.... semuanya dah berakhir. Bukan senang nak buat catering ni walaupun secara kecil-kecilan. Kita biasa masak untuk ahli keluarga je dan bila lebih 10 orang je mulalah menggelabah.Mula-mula tu memang tak boleh nak agak. Tapi rasanya , kalau buat kali kedua nanti rasanya dah boleh agak berapa banyak yang bahan yang hendak disediakan.Yang penting pihak yang menempah berpuas hati....

  
mee hoon

nasi lemak

p/s : Menunggu pertengahan April kerana ada lagi tempahan.Nak menolak tak sampai hati sebab orang dah berharap...

Sunday, March 18, 2012

Tukar Cat

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sesaja nak beritahu kat kawan-kawan yang KPY baru saja cat dapur . Lebih kepada warna alam , kehijauan. Susun atur barang-barang belum dapat nak buat lagi. Kepala dah pening.

Gatal sangat nak mengubah dapur , kerja yang sepatutnya buat tak buat lagi. Kek orang nak pagi esok entah ke mana lagi. Hari dah awal pagi ni ,mata dah mengantuk , dah banyak kali menguap ni.Nampak gayanya kena tidur dulu walaupun sekejap. Bye...

Wednesday, March 14, 2012

Mood ....Bosan

Assalamualaikum,

Tak tahu nak tulis apa. Mood suram seperti kesuraman cuaca di luar. Hanya rasanya aktiviti baring-baring sambil menonton tv , baca novel , jalan-jalan cari makan mungkin sesuai kut. Nak masak ? Penyakit M terlalu menebal. Rasa-rasanya tengah hari nanti angkut anak-anak makan kat luar....

Sekadar nak menghangatkan blog yang agak suram ni , jadi tempeklah gambar yang rasa-rasanya tak pernah muncul lagi.

Talam Abuk-abuk Seri Muka

Order dari Kak Munirah sempena majlis perkahwinan anak saudaranya .

Chocolate Cake with Strawberry
 Order dari Norlilawati


Chocolate Cake with Topping Ganache

Blueberry Cheese Cake


p/s -  novel Awak Sayang Saya Tak (ASST ) by Melur Jelita.

Wednesday, March 7, 2012

Yang ni je?

Harap maaf , gambar kurang memuaskan.Gambar pun dah jadi macam tuannya. Tak sihat. Dalam keadaan diri yang tak sihat tapi berjaya juga menghasilkan kek pengantin 3tiers. Bahagian atas tu sengaja dikosongkan tanpa ada hiasan sebab pengantin nak letak bunga segar.

KPY guna teknik steam butter cream.Tapi KPY dah menemui cara yang sangat-sangat mudah untuk membuatnya. Cepat je untuk 3 biji kek. Sangat senang dan cepat , tak macam yang KPY pernah belajar dulu.( kalau tak lenguh tangan nak mengacau)

Berbalik kepada tajuk , ingatkan nak letak gambar je memandangkan badan masih lagi tak sihat . Tapi dah panjang juga celotehnya.

* Sedang mencari waktu nak buka kelas baking and deco cake!

Wednesday, February 22, 2012

Talam Suji

Jeng...jeng....jeng...

Talam Suji

Tak payah nak berceloteh panjang. Kita layan resipi talam suji......

Sumber asal : Azimah Mansor

Bahan:

Lapisan Bawah
150 g tepung suji / semolina 
20 g tepung gandum
2 biji telur ( saiz A)
pewarna- lemon yellow( letak sikit2 - tengok kesesuaian warna)
120 g gula pasir
700 ml santan cair
1/2 tsp garam

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan di dalam periuk ( pewarna  - masukkan sedikit. tengok kesuaian warna).Kacau bahan agar tidak berketul.
2. Masak di atas api , kacau sehingga separuh masak - agak pekat.
3. Tuang ke dalam loyang 10 x 10 inci yang dialas plastik(14x14)
4. Kukus selama 20 minit .

Lapisan Atas 

700 ml santan pekat
1 tsp essen vanilla
1/2 tsp garam
150 g tepung gandum
50 g gula pasir
200 g gula melaka / gula merah
1 tsp coklat emulco
2 biji telur ( saiz A )

Cara:
1. Kisar kesemua bahan kecuali telur dan coklat emulco hingga hancur.Masukkan telur ke dalam bahan kisaran dan kisar sekali sahaja.
2. Tapiskan bahan kisaran ke dalam periuk.Masukkan coklat emulco.
3. Kacau bahan tadi di atas api sehingga naik wap dan tuangkan ke atas lapisan bawah.
4. Kukus selama 25 -30 minit atau hingga masak.

* Kadang-kadang tu , resipi sama tapi apabila dibuat oleh 2 orang yang berbeza , rasanya ada kelainan.Ada yang sedap dan ada yang kurang. Kuih tradisional ni yang penting dari segi lemak dan manis.Kalau tak cukup 2 perkara tu , kuih jadi kureeeng.

SELAMAT MENCUBA




Friday, February 10, 2012

Nasi Lemak Hijau

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pengunjung KPY. Masukkan gambar dulu ya. Resipi akan diletak nanti. Minggu lepas je 2 kali masak menu ni. Malam ni KPY kena bertungkus lumus nak menyediakan nasi lemak hijau untuk kawan-kawan kat sekolah esok .




Nasi Lemak Hijau

Bahan:

3 cawan beras ( KPY guna basmathi moghul faiza)-sbb tu pjg.
4 cawan santan .( sederhana pekat )
1/2 cawan jus pandan .(4 helai )
2 tbls minyak masak
1 tsp garam
1 tbls gula
pewarna hijau( optional )

Cara:
1. Basuh beras . Masukkan kesemua bahan. Masak seperti biasa. ( KPY guna dapur gas je )

2. Apabila sudah menggelak, kacau hingga betul2 kering. Perlahankan api. Tutup periuk dengan kemas.

3. 15-20 minit nasi akan masak.

Selamat Mencuba

Thursday, February 9, 2012

Yang Lepas

Assalamualaikum dan selamat pagi semua....Supaya dapur ni tidak bersawang jadi KPY letakkan gambar yang rasa-rasanya belum pernah dimasukkan lagi. Nak tulis resipi , mood malas masih lagi melanda. Nanti KPY masukkan entry tentang nasi lemak hijau ya. Minggu lepas 2 kali buat.... memang sedap....
dari Saleza

dari Rosnah

dari Kak Zu

Sunday, January 29, 2012

Nasi Tomato Ala KPY


Hari ni masak nasi tomato bersama ayam masak merah. Anak yang duduk kat asrama tu siap bertanya, bila mama nak masak nasi tomato. Ke mama nak masak bila dia balik asrama? Kesian pulak mendengarnya. Jom kita layan resipi nasi tomato cara KPY.Resipi ayam masak merah next time...maklumlah mood rajin tak kunjung tiba....esok dah start kerja balik. Lepas ni nak buat urusan menggosok baju anak2 pulak. Hari2 yang sibuk bakal bermula...

Nasi Tomato

Sumber : KPY

Bahan:
4 cawan beras basmathi ( cawan periuk elektrik)
1/2 tin tomato puri
1 sudu besar minyak sapi
1 sudu besar planta
1 cawan susu cair
1 biji bawang besar -mayang halus
2 ulas bawang putih - mayang halus
1/2 inci halia - mayang halus
rempah 4 sekawan utk menumis( kayu manis , bunga lawang,bunga cengkih dan buah pelaga )
gula
garam 
5 cawan air ( gunakan cawan yg sama utk sukat beras)

Cara:
1. Basuh beras dan toskan
2. Panaskan minyak sapi dan planta. Masukkan rempah 4 sekawan, kemudian , masukkan bahan2 yg telah dimayang halus tadi. Kacau sehingga naik bau dan warna keperangan.
3. Masukkan tomato puri - kacau biar agak masak.
4. Masukkan air dan susu cair.
5. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Tunggu sehingga mendidih baru masukkan beras.Kacau dan kaupbalikkan sehingga kering.
6. Perlahankan api , tutup periuk dengan kemas dan biar sehingga masak.
* KPY guna periuk biasa je. Boleh juga kalau nak guna pengukus. Nasi elok je tak berkerak.( bila nasi sudah kering , alihkan ke dalam pengukus. )

* yatie guna beras monghul basmathi, besar dan panjang ulas nasinya.

Friday, January 27, 2012

Kek Gula Hangus a.k.a. Sarang Lebah


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung blog KPY. Dah lama tak bersiaran. Nak kata sibuk , taklah sibuk sangat sebabnya KPY sempat je mengintai dari kejauhan blog rakan-rakan semua tapi tak sempat nak tulis komen. Ingatkan cuti seminggu sempena CNY ni sempatlah nak update blog . Nampak gayanya penyakit M ni semakin menjadi-jadi. Apa pun jom makan kek gula hangus dulu ya.

Sumber : My Resipi
Sumber : KPY ( ada sesetengah sukatan / bahan KPY dah ubah dari resipi asal )

Bahan:
1 cawan gula pasir
1  cawan air panas
90 g butter ( 2 sudu besar )
4 biji telur ( A )
1cawan susu pekat
1 tsp essen vanilla
1 cawan tepung gandum
2 tsp soda bikarbonat
1/2 tsp garam

Cara:
1. Panaskan gula pasir dalam periuk yg kering. Biarkan sehingga bewarna perang dan menjadi cair. Masukkan air panas .( bahan tadi akan meletup-letup buat seketika ). Kacau sehingga gula tadi hancur.Masukkan butter. Kacau hingga butter cair.
2. Pukul telur hingga pekat dan masukkan susu pekat.Pukul lagi sehingga sebati dan masukkan essen vanilla.
3. Ayak tepung , garam dan soda bikarbonat. Masukkan ke dalam adunan tadi dan pukul hingga sebati.
4. Masukkan sirap gula tadi ke dalam adunan. Pukul agak lama - 5 minit.
5. Kalau nak nampak lubang2 yang banyak pada kek , seelok-eloknya biarkan kek 3-4 jam sebelum membakarnya.
* KPY hanya biarkan lebih kurang 45 minit je sbb tak sabar2 nak makan.
6. Bakar pada suhu 160 darjah selcius selama lebih kurang 1 jam. Gunakan api bawah sahaja. 10 minit terakhir , barulah guna api atas bawah. Bagi yang guna oven biasa tu , gunalah cara biasa je. Kalau tak masak tambah dalam 10-15 minit je lagi masa membakar.

SELAMAT MENCUBA

Tuesday, January 3, 2012

Pembuka Tirai 2012


Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat kawan-kawan serta pengunjung blog KPY. Selamat menyambut tahun baru 2012  . Semoga tahun ini membawa lebih banyak kenikmatan dan kegembiraan kepada kawan-kawan semua. KPY agak sibuk sikit menjelang sesi persekolahan 2012 ini. Sibuk nak menyediakan kelengkapan anak-anak dan juga diri sendiri. Kadang-kadang tu , bila buka sesi baru bukan setakat anak bahkan emaknya juga berkehendakkan serba sedikit benda yang baru....

Apa pun sempena tahun baru 2012 ini, KPY dirasmikan dengan kek hantaran pertunangan Nana dan Arie. Selamat Bertunang daripada KPY. KPY sendiripun tak mengenali Nana dan Arie ni , apa pun semoga hubungan kalian berkekalan hingga ke jinjang pelamin.Amin.